Cari Blog Ini

Memuat...

Jumat, 14 Januari 2011

Ringkasan Pembelaan Sahabat Nabi : Membela Tsalabah Ibn Hatib ra dari Tohmahan dan Kisah Para Jahil

Rata-rata hari ini apabila mengajarkan agama tidak banyak mengambil berat kepada isi agama yang disampaikan apakah benar-benar ianya datang dari Allah dan rasul atau sudah dicampuri kedustaan dan kepalsuan dan penyelewengan.

Perhatikan sikap ‘Umar bin Al-Khatab ra ketika dia berkata: “Hati-hatilah dan jauhilah oleh kalian orang-orang yang menggunakan ra`yunya (akalnya) . Kerana sesungguhnya mereka adalah musuh-musuh As-Sunnah. Mereka dilemahkan oleh hadith-hadith, hingga tidak mampu menghafalnya. Akhirnya mereka berbicara dengan ra`yu mereka, maka mereka tersesat dan menyesatkan (orang lain).” (Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni rahimahullah dalam Sunan dan Al-Lalikai rahimahullah dalam Syarhu Ushul I’tiqad Ahlus Sunnah wal Jama’ah).

Hentikan dahulu soal Maulid nabi apakah ianya bid'ah atau harus, hentikan dulu soal wahabi atau sufi tetapi mari kita melihat siapa yang memurnikan ajaran Islam dari kepalsuan dan pendustaan.

Apakah tok-tok guru pondok Melayu, apakah ustaz-ustaz Al-Azhar, apakah ustaz-ustaz hadramaut yang selama ini membersihkan ajaran Islam dari kepalsuan dan cerita-cerita karut ?

Hadith palsu yang dulu menyebar di mana-mana : " Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri Cina" yang hampir diketahui oleh semua umat Islam Melayu apakah golongan mufti dan qadhi serta orang agama tradisional yang terdiri dari pondok, Al-Azhar yang menjelaskan kepalsuan hadith ini kepada orang ramai?

Kisah-kisah palsu seperti Saidina Umar ra membunuh anak perempuannya, kemudian menghukum anaknya Abu Syamah yang berzina dan pelbagai lagi kisah ini siapakah yang membongkar dan menjelaskan kepalsuan kisah-kisah ini semua ?

Cuba fikirkan sejenak…

Apakah selama ini Tok-tok guru pondok, Ustaz-Ustaz Al-Azhar dan golongan agama dari Hadramut yang membela kesucian Islam dengan membersihkan kisah-kisah umat Islam dari kepalsuan, menjelaskan darjah hadith dan memperjelaskan antara hadith palsu dan sahih ?

Jawapannya sudah pasti tidak.

Sejak kecil saya sendiri (ustaz emran) belum pernah mendengar mana-mana orang agama tradisional Melayu baik dari pelajar Al-Azhar, tok-tok guru pondok, Mufti dan orang sufi hadramut melakukan usaha membersihkan ajaran Islam dari kepalsuan, menjelaskan kedudukan sesuatu hadith apakah ianya sahih, palsu dan dhaif sebaliknya saya bahkan mendapati mereka ini , golongan inilah yang paling banyak jasanya menyebarkan kisah-kisah palsu, menyampaikan hadith-hadith palsu dan cerita-cerita palsu ke dalam masyarakat.

Lalu siapakah yang selama ini membela sunnah dan membersihkan kepalsuan dan kedustaan dalam agama ?

Jawapan saya selama yang saya ketahui dari sejarah hidup saya mengenai orang pertama yang saya ketahui mengusahakan kerja mulia membersihkan Islam dari penyelewengan dan kepalsuan ialah Drs Azmi Abd Ghani yang pernah menghasilkan buku tentang himpunan hadith-hadith palsu.

Sudah lupa saya bukunya terbitan pustaka apa kerana sudah lama saya tidak melihatnya lagi. Kemudian saya mengenali Abdullah Al-Qari dari Kelantan yang banyak menulis buku dengan harga yang cukup murah yang membolehkan saya memiliki hampir semua buku-bukunya semasa saya ketika itu masih sekolah menengah.

Di Malaysia, usaha memurnikan ajaran Islam sudah dipelopori sekian lama oleh kaum muda tetapi saya hanya mahu menceritakan apa yang saya alami dari kisah hidup saya bahawa apa yang saya rasai dari hidup saya.

Tokoh yang membuatkan saya memahami Islam dengan sebenar dalam sejarah hidup saya ialah Ustaz Hussain Yee semoga Allah memeliharanya dengan yayasan beliau iaitu Yayasan Al-Khadim. Saya mengenali yayasan ini dari rakan saya Muhammad Fawwaz Aminuddin (Anak lelaki kepada pasangan Dr Aminuddin dan Dr Lo’lo yang merupakan tokoh wanita Pas pusat).

Kemudian saya mendapat pula pengetahuan tentang tokoh-tokoh luar Negara yang masyhur seperti Syeikh Nasiruddin Albani ra kerana sewaktu belajar di Kolej Islam Klang atau Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) ada seorang pelajar junior saya yang bernama Adib sangat gemar menimbulkan nama Syeikh Albani.

Saya yang merupakan seorang sufi pekat ketika itu cuba memahami siapakah Syeikh Albani, juga kerana pernah saya belajar di Perlis bersama kaum Muda, memiliki kawan-kawan beraliran kaum muda salafi haraki seperti Nazim, Mukhriz, Juzaili dan tidak lupa Muhammad Fawwaz membuatkan saya selalu mengkaji dalam diam-diam supaya tidak kalah hujah kepada mereka.

Siapa tahu dengan itu saya beroleh banyak pendedahan dan keilmuan yang sangat banyak. Bahkan saya juga tidak kurang mengintip kawan saya Yusri (seorang yang banyak ilmunya tentang kefahaman sufi), juga rakan-rakan lain seperti Mujahid yang agak keras pegangannya dari hasil belajarnya di Pondok Rembau Negeri Sembilan bersama Ustaz Fuad Kamaluddin.

Kemudian dengan pengalaman saya sendiri yang pernah belajar di pondok-pondok di semenanjung tanah Melayu dan berguru dengan ramai tok-tok guru pondok di Sik, Jitra, Derang dan sekitar Kedah juga di Kelantan serta Perak membuatkan saya dapat menilai banyak perkara.

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Al-Isra : 36).

Alhamdulillah kemudian saya menemui dan berpeluang belajar dari Ustaz Arif Nazri (bekas Imam masjid UIA), Ustaz Asri Kelantan, Dr Asri Zainul Abidin yang ketika itu belum mendapat phd dan kemudian ramai lagi tokoh-tokoh salafi seperti Ustaz Ismail Omar (pengarang buku Manhaj Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah), Dr Abdullah Yassin dan lain-lain.

Bagi saya mereka inilah golongan yang membela sunnah dan membersihkan ajaran Islam dari kepalsuan tok-tok guru pondok.

Kesimpulannya saya yakin jika ada sesiapa yang mahu berehat dan berfikir sejenak sebelum menghentam akan memahami bahawa golongan yang digelar wahabi, kaum muda inilah yang selama ini membela sunnah rasulullah, mempertahankan hadith-hadith rasul dari dipalsukan dan dicemari oleh kejahilan orang agama sendiri.

Kisah-kisah agama dan pelbagai lagi isi pokok agama yang penuh kepalsuan, kedustaan dan penipuan dan penyelewengan kerap kali diberpetulkan dan diperjelaskan oleh ustaz-ustaz salafi dan mereka yang dianggap sebagai wahabi.

Ali bin Abi Thalib ra berkata, " Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu adalah agama.” Pernyataan ini dinukil dari beberapa ulama salaf seperti Ibnu Sirin Adh Dhahak bin Muzahim dan yang lain. (Lihat Al Khatib Al Baghdadi, dalam At Tankil, m/s 121).

Oleh itu sedarilah siapa ahli agama yang patut anda ambil sebagai rujukan apakah orang yang menyebarkan kepalsuan dan hadith-hadith palsu dan cerita karut atau jahil mengenainya atau mereka yang gigih membela sunnah rasulullah.

“Apakah sama orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu ?” (Az-Zumar : 9).

Sabda rasulullah Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu.” ( Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah) .


Kisah Tsalabah Ra
Kisah sahabat Tsalabah ra ini sangat mashyur dan berada di dalam banyak kitab khasnya kitab tafsir ketika menafsirkan ayat :

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنْ الصَّالِحِينَ فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوا وَهُمْ مُعْرِضُونَ
“ Dan diantara mereka ada orang yang berjanji kepada Allah dengan berkata sekiranya kami diberikan kelebihan dari rezeki Allah maka kami akan bersedekah dan menjadi orang yang soleh maka setelah mereka diberikan kurnia-Nya bahkan mereka bakhil dan berpaling dan menjadilah mereka orang-orang yang engkar” (At-Taubah: 75-76).

Di dalam tafsir at-tabari oleh Ibn Jarir ra (riwayat tabari m/s 189 Jilid 10) dan tafsir Al-Qur’an Al-Azim oleh Ibn Katsir ra (m/s 201 Jilid 2) dan lain-lain turut memuatkan riwayat kisah Tsalabah ibn Hatib Al-Ansari ra yang kononnya menjadi sebab turun ayat ini dengan dakwaan ianya bersanadkan dari Ibn Abbas ra dan Abi Umamah ra dan Hasan Al-Basri.

Kisah ini yang terdapat dalam banyak kitab Tafsir seperti Ibn jarir At-tabari dan Ibn Abi hatim diambil dari riwayat Ma’an Ibn Rifa’ah daripada Ali ibn Yazid dari Qasim ibn Abd Rahman dari Abi Umamah ra bahawa : Sesungguhnya Tsalabah ibn Hatib Al-Ansori berkata kepada rasulullah : “Doakanlah aku supaya diberi harta oleh Allah” dan juga berkata “Demi yang membangkitkan engkau dengan kebenaran sekiranya engkau mendoakan supaya Allah memberikan harta kepada aku nescayalah aku akan memenuhi hak-haknya” kemudian rasulullah pun mendoakannya dan dikisahkan beliau kemudian membela kambing biri-biri dan membiak ternakannya sehingga menjadi kaya kemudian kerana kesibukkan menguruskan harta sehingga meninggalkan solat jemaah bersama baginda di masjid lalu apabila datang perintah wahyu supaya mengambil zakat maka diperintahlah dua orang lelaki untuk mengambil hak zakat dari Tsalabah lalu ditolak oleh Tsalabah kemudian apabila utusan ini memberitahu baginda turunlah ayat ini iaitu ayat 75-76 Surah At-Taubah dan sampailah berita kepada Tsalabah akan hal ini lalu dia menyesal dan menemui baginda rasul untuk menyerahkan hak zakatnya tetapi diberitahu kepadanya bahawa Allah melarang rasulullah mengambil zakat darinya dan wafatlah rasulullah dalam keadaan tidak menerima zakat Tsalabah dan kemudian berlalu zaman Abu Bakar dan Umar serta Utsman dengan tidak seorang pun dari khalifah rasulullah ini menerima zakat Tsalabah dan meninggal dunialah Tsalabah di zaman Utsman ra dengan zakatnya tidak tertunai.

Kisah ini palsu serta bathil dan sanad kisah ini pula dhaif (lemah) bersangatan serta ditolak oleh ramai ulama hadith dan fuqaha Islam dahulu dan kini antaranya ialah Imam Ibn Hazm, Imam Baihaqi, Imam Qurthubi, Imam Az-Zahabi, Imam hafidz Al-Iraqi, Hafidz Al-Haisami, Al-Hafidz Ibn Hajar, Imam Al-Manawi dan lain-lain dikalangan ulama Islam yang alim.

Bahkan saya (ustaz emran) tidak mendapati seorang pun dikalangan ulama Islam dunia hari ini baik Syeikh Ahmad dan Syeikh Mahmud Muhammad Syakir, Syeikh Muhammad Rashid Redha, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Syeikh Albani, Syeikh bin Baz, Syeikh Soleh Al-Utsaimin, Syeikh Soleh Al-Fauzan, Syeikh Abd Rahman Al-Jibril serta lain-lain ulama dunia Islam hari ini yang tidak tahu kebathilan kisah ini melainkan semuanya sudah jelas dan tahu kebathilan kisah ini dan menjelaskan dalam penulisan-penulisan mereka sekiranya mengenai tajuk ini.

Bahkan di Yaman sekitar kawasan San’a ini sekiranya ditanyakan kepada perempuan yang berjalan di tepi jalan dengan memakai jubah ketat menampakkan buah dada dan bentuk punggung pun pastinya mengetahui bahawa kisah Tsalabah ini ialah palsu sekalipun dia tidak memakai jubah dan tudung labuh seperti muslimat Malaysia dan sekalipun dia tidak mendaftar dengan mana-mana jemaah atau mengikuti mana-mana usrah tetapi mengetahui soal agamanya lebih dari mereka yang siang malam belajar tentang tanzim dan cara berorganisasi.

Hanya sahaja di Malaysia kisah ini masih tersebar dan saya hanya tahu cuma Ustaz Muhammad Asri Yusoff di Kelantan dan Dr Asri Zainul Abidin sahaja yang ada menulis membela kisah–kisah kepalsuan yang memburukkan sahabat radiallahuanhum (semoga Allah meredhai mereka) bukannya tok Guru Pondok, bukannya Syeikh Nuruddin Al-Banjari bukannya tok guru sekian dan sekian khasnya jauh sekali orang-orang Al-Azhar dan pondok.

Agaknya mereka (orang sufi) tidak merasa perlu membela sahabat nabi atau kerana mungkin jahil akan ilmu hadith sekalipun mendakwa belajar hadith tinggi-tinggi.

Al-Hafidz Ibn Katsir ra sekalipun membawakan kisah Tsalabah ini dalam tafsirnya tetapi beliau sendiri mendhaifkan sanad dan perawi kisah ini dalam ruangan yang lain misalnya pada tafsir Surah An-Nisa ayat 163-165 dengan menyebut sanad hadith perihal bilangan nabi dari Ibn Abi Hatim yang berkata telah diberitahu kepada kami Muhammad ibn Auf diberitahukan kepada kami oleh Abu Mughirah diberitahukan kepada kami Ma’an ibn Rafa’ah daripada Ali ibn Yazid daripada Qasim dari Abi Umamah ra kemudian berkata Ibn Katsir bahawa Ma’an Ibn Rafa’ah As-Sulami ini dhaif dan Ali ibn Yazid ini dhaif dan Qasim Abu Abd Rahman ini juga dhaif (lihat tafsir ibn Katsir m/s 586 Jilid1).

Berkata Imam Abu Muhamad Ali ibn Ahmad masyhur dengan Ibn Hazm Al-Andalusi dalam Kitab Al-Hudud masalah no 2203 bahawa perawi kisah ini iaitu Ma’an ibn Rifa’ah dan Qasim dan Ali Ibn Yazid semuanya dhaif.

Demikian juga Al-Hafidz Zainuddin Abu Fadhl Abd Rahim Al-Iraqi yang berkata pada takhrij hadith Ihya Ulumiddin bahawa isnad hadith ini dhaif dan dikeluarkan oleh Imam Tibrani dengan sanad yang dhaif.

Ramai ulama mendhaifkan perawi-perawi sanad kisah ini seperti Imam Hakim An-Naisaburi, Ibn Majah, Tirmidzi yang mengeluarkan beberapa hadith dengan sanad perawi tersebut dan mendhaifkan mereka ini. Bahkan Imam Bukhari memasukkan Ali Ibn Yazid di dalam kitabnya Dua’fa As-Saghir no. 255 m/s 82 dan Imam Nasaie memasukkannya di dalam Ad-Dhua’fa Walmatrukin mo. 432 M/s 78 juga Al-Imam Daruquthni di dalam kitab Ad-Dhua’fa Walmatrukin mo. 407 M/s 134.

Al-Imam Ibn hajar juga menyebut di dalam Fathul Bari di kitab Zakat pada hadith bernombor 1400 pada bab bila difardhukan zakat dengan menyebut hadith kisah Tsalabah ini dan mengatakan hadith ini dhaif dan tidak diperlukan (La yahtaj bihi).

Riwayat lain kisah ini daripada Ibn Abbas ra juga ialah dhaif iaitu dari jalan Muhammad ibn Saad yang berkata daripada bapanya yang berkata diberitahukan oleh pakciknya yang berkata diberitahu oleh bapanya diberitahu oleh bapanya dari Ibn Abbas ra yang kemudian menafsirkan ayat Surah 75 At-Taubah dengan kisah ini.

Hadith ini dhaif dan isnadnya lemah bersangatan dengan semua perawinya dhaif dan kemungkinan pendusta. Juga daripada riwayat lain yang bersandarkan kepada Hasan Al-Basri ra juga demikian dhaifnya dan tidak dapat dibuat hujah. Iaitu dari jalan Ibn Humaid daripada Salamah daripada Ibn Ishaq daripada Amru ibn Ubaid daripada Hasan Al-Basri akan kisah ini tetapi juga dhaif jiddan (bersangatan).

Ibn Humaid iaitu Ya’kub disebut saduq tetapi waham dan Salamah ibn Raja’ At-Tamimi ialah dhaif dan Ibn Ishaq khilaf ulama pada riwayatnya ada yang diterima dan ada yang tidak dan Amru ibn Ubaid ibn Ban ialah seorang muktazilah yang menyeru kepada bid’ahnya dan ditolak riwayatnya dan dimasukkan oleh Daruquthni dan An-Nasaie ke dalam golongan dhaif yang ditinggalkan hadithnya.

Kesimpulannya ketiga-tiga riwayat baik dari Ibn Abbas ra, Abi Umamah ra dan Hasan Al-Basri ini ialah dhaif bersangatan yang mengandungi dusta terhadap peribadi sahabat yang mulia Tsalabah ibn Hatib ra dan tidaklah benar disandarkan kisah ini kepada Ibn Abbas, Abi Umamah ra dan juga Hasan Al-Basri lebih-lebih lagi disandarkan kepada rasulullah.

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : " Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)" (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

Ibn Hisyam dalam Sirah An-Nabawiyah menyebutkan Tsalabah sebagai ahli badar, juga Imam Saad dalam Tabaqah Al-Kubra memasukkan Tsalabah sebagai salah seorang ahli badar, juga Imam Al-Baghawi, Ibn Hibban,Ibn Hazm, Tibrani, Ibn Abd Bar, Ibn Asir, Al-Qurtubi, Adz-Zahabi dan Ibn Katsir serta Al-Haisami, Ibn Hajar dan lain-lain yang menulis sekitar sahabat radiallahuanhum memasukkan Tsalabah Ibn hatib sebagai salah seorang sahabat yang mulia yang mengikuti perang badar sekaligus telah menjelaskan serta membela beliau dari fitnah dan riwayat palsu kepadanya.

Tsalabah ibn Hatib ialah seorang sahabat Ansar yang terlibat menyertai perang Badar iaitu peperangan suci yang tidak ikut serta di dalamnya kecuali hanya mereka-mereka yang beriman dan tidaklah seorang pun munafiq, atau fasiq yang menyertainya melainkan mereka yang beriman dan diberi kemuliaan.

Di dalam hadith perihal Hatib Ibn Abi Bal’ta’ah ra rasulullah bersabda : “Bukankah dia ini dari Ahli Badar ? Semoga Allah seolah telah mengatakan kepada ahli badar lakukanlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah diwajibkan kepada kamu syurga “atau riwayat lain” diampunkan dosa kamu” (hadith sahih riwayat Bukhari lihat Fathul Bari no. 3983).

Adapun dalam riwayat Ahmad dan Abu Daud dan Ibn Abi Syaibah dari Abi Hurairah disebut hadith ini dengan bentuk jazam dan pasti bahawa memang telah diampunkan dosa ahli badar. Juga dalam hadith Ahmad riwayat dari Jabir ra dengan marfu menyebutkan "tidak akan masuk neraka seorang pun yang menyaksikan perang Badar” (lihat Musnad Ahmad dengan syarah hadith).

Juga dari hadith riwayat Bukhari yang menyebutkan perihal fadhilat Ahli Badar dari kisah Jibrail yang bertanya nabi tentang Ahli badar dan dijawab dengan mengatakan mereka ialah sebaik-baik muslimin dan hadith sahih bernombor 3992 di dalam Fathul Bari.

Bahkan kisah yang memburukkan Tsalabah ini tidak lain hanyalah disebarkan oleh mereka yang jahil tentang agama dan tidak dapat memikirkan dengan akal yang waras dan kefahaman yang mendalam tentang agama bahawa Allah itu tidaklah zalim dan kejam sehingga tidak menerima taubat hamba-hambanya sekiranya benar seseorang itu berdosa atau tidak membayar zakat.

Sesungguhnya Allah Maha pengampun dan menerima taubat hamba-hambanya dan tidaklah mereka yang jahil itu mengetahui.

“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih” (Ali Imran –31).

Sabda baginda salallahualaihiwasalam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Akhir kata ambilah pengajaran dari tulisan ini akan apa yang disebut oleh Al-Imam Adz-Zahabi dari perkataan Amirul Mukminin Khalifah Ali Ibn Abi Thalib ra yang berkata “Semoga Allah membinasakan mereka (iaitu golongan Syiah dan juga dimaksudkan ahli bid’ah) alangkah ramainya orang-orang yang putih berseri wajahnya (sahabat) telah mereka hitamkan dan alangkah banyaknya hadith–hadith rasulullah salallahualaihiwasalam telah mereka rosakkan” (lihat Tazkiratul Huffaz m/s 12 Jilid 1).

0 komentar:

Diberdayakan oleh Blogger.
ADIFAH 2220 © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute