Cari Blog Ini

Jumat, 14 Januari 2011

Menghadapi Kegagalan




Tidak ramai orang mampu menghadapi kegagalan, menerima kegagalan, sanggup mengambil risiko untuk gagal lebih-lebih lagi pula mampu untuk belajar daripada kegagalan. Majoriti manusia takut kepada kegagalan, hal itu membuatkan mereka berusaha untuk tidak gagal melalui cara yang paling mudah iaitu tidak mencuba.
Cara itu adalah salah.
Manakala dalam masa yang sama, setiap hari kita semua berhadapan dengan kegagalan demi kegagalan di sana sini. Para pelajar gagal di dalam pelajaran, gagal menyiapkan tugasan, guru gagal mendidik pelajarnya, ibubapa gagal di dalam rumahtangga, anak-anak gagal menjadi anak yang baik, suami gagal menjadi suami yang baik, isteri gagal menjadi isteri yang baik.
Di dalam pekerjaan kita kerap kali menemui kegagalan, gagal naik pangkat, gagal di dalam ujian temuduga, gagal di dalam penilaian kerja tahunan, gagal di dalam mencari kerja, gagal mendapatkan projek, gagal mendapat bayaran, gagal menyakinkan pelanggan, gagal menghasilkan produk.
Begitu juga bagi insan tertentu mereka yang gagal mendapatkan teman hidup, gagal memiliki isteri, gagal memiliki suami, gagal di dalam pinangan, gagal mendapat isteri kedua…
Pendek kata kegagalan ialah sebuah lumrah kehidupan.
Bagaimana menerima kegagalan yang betul di sisi Islam ?
Sabar ketika menerima berita kegagalan
Ramai orang tidak dapat bersabar ketika menerima berita kegagalan buat kali pertama. Ada yang tersungkur, ada yang terjatuh, ada yang pengsan, ada yang terduduk, ada yang tidak dapat mengawal perasaan daripada menitiskan air mata, ada yang tidak dapat mengawal emosi daripada menjadi sebak dan ada pula yang tidak dapat berbicara atau mengeluarkan kata-kata kerana lidah menjadi kelu secara tiba-tiba.
Aku Gagal !!
Sekelip mata dunia yang bewarna menjadi gelap, suasana bising menjadi sunyi dan hening, dada yang ringan menjadi berat, detik itu berlaku selama beberapa ketika dan di waktu itu bagi mereka yang tidak dapat bersabar maka pelbagai perkara boleh terjadi.
Bagi yang lemah maka dia akan bertindak dengan mengeluarkan air mata, menangis, kecewa dan menjadi sebak serta derita. Kegagalan itu baginya ialah sebagai sesuatu yang menyedihkan dan dibenci.
Dibenci kegagalan itu dengan cara yang lemah.
Manakala bagi sesetengah manusia pula apabila berlalu saat dan detik kesedihan akibat kegagalan itu maka dia akan menukarkan perasaannya kepada marah, geram dan benci lalu mengganas serta menolak kegagalan itu daripada menguasainya dengan caci maki dan cerca hamun kepada subjek kegagalannya itu.
Keluarlah kata-kata celupar, kesat dan segala macam usaha dan tindak balas yang menunjukkan dia marah, geram dan memperendahkan subjek kegagalannya itu dan menghina segala macam punca kegagalannya sebagai memuaskan hatinya.
Jenis ini biasanya adalah jenis lelaki dunggu yang bodoh.
“@#$@$!%#, dicarutnya kepada pegawai peperiksaan yang mengagalkannya” atau kepada pegawai JPJ yang telah bertindak menolak kelulusannya di dalam ujian memandu misalnya.
Allah befirman : “Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka.” (Al-Kahfi : 28).
Islam mengajar umatnya untuk bersabar ketika saat pertama menerima kegagalan
Dan berdasarkan hadis Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melewati seorang wanita yang sedang menangis di sisi kuburan (dalam riwayat lain menangisi anaknya yang meninggal) Maka baginda berkata kepada wanita itu : "Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah."
Maka wanita itu berkata : "Engkau tidak merasakan apa yang kurasakan, karena engkau tidak mengalami musibah seperti musibahku".
Anas berkata : "Wanita itu tidak mengetahui bahwa yang menegurnya adalah Nabi". Lalu dikatakan kepadanya. "Yang menegurmu adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam". Maka seperti kematian mengambilnya (wanita itu terkejut), segera dia mendatangi rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan dia tidak mendapatkan penjaga pintu di sisinya. Wanita itu berkata : "Wahai Rasulullah tadi aku tidak mengenalimu". Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda : "Sesungguhnya sabar itu adalah pada pukulan pertama. " (Hadis Riwayat Muslim)
Sabar itu bukanlah selepas kita puas mengamuk, mencaci dan mencarut lalu tersedar dan segera mengurut dada lalu berkata : “Aku bersabar.”
Juga bukanlah sabar itu setelah kita puas menangisi kesedihan, meratap sayu dan mendendangkan lagu di hati dengan suara-suara pilu, keluh kesah, kesalan, kesedihan yang menyayat hati serta perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat lalu kemudian setelah puas menangis dan letih dengan apa yang dilakukan maka barulah kita pun berkata : “Sekarang aku akan bersabar.”
Bukan begitu, tetapi sabar itu ialah sewaktu awal-awal terkena pukulan ujian itu dan mampu menerimanya dengan redha.
Hadis Umar ra yang bertanya nabi tentang amal dengan mengatakan : " Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan apakah ianya sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : "Sesungguhnya telah pun ditetapkan segala sesuatu pada setiap perkara" maka di balas oleh Umar : "Apakah kita harus menyerah sahaja kalau demikian ? Maka bersabdalah baginda nabi : "Beramallah wahai anak Khattab, segala sesuatu itu sudah dipermudahkan adapun barangsiapa yang tergolong dari ahli kebaikan (syurga) maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan barangsiapa yang tergolong dalam ahli siksa maka dijadikan dia beramal jahat untuk neraka " (Hadith sahih, riwayat Ahmad 29 Jilid 1)
Bagaimana mampu menjadi redha ?
Allah befirman yang bermaksud : "Kami sungguh akan menguji kalian dengan rasa takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berilah khabar gembira bagi orang-orang yang sabar, yakni orang-orang yang bila ditimpa oleh musibah maka mereka berkata : ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya). Mereka itulah yang berhak mendapatkan salawat (keselamatan) dari Tuhan mereka dan rahmat dan merekalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk." (Al-Baqarah : 155-157)
Sedarilah bahawa orang yang selamat itu ialah mereka yang menyedari status mereka sebagai hamba.
Allah dan rasul mengajar ucapan ini apabila ditimpa oleh musibah : إنا لله وإنا إليه راجعون “Innalillahiwa’inna ilaihirajiun” yang bermaksud : “sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya.” (hadis riwayat Muslim)
Sungguh hanya mereka yang menyedari mereka milik tuhan mereka sahaja akan menyedari bahawa kita berhak diuji bila-bila masa.
Firman Allah swt yang bermaksud : “ Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Thagabun : 11)
Redha akan terbit daripada diri kita dan dapat menerima apa sahaja ujian dan kegagalan apabila kita menyakini dan meletakkan diri kita di status hamba. Apabila kita menyedari bahawa segala-galanya sudah ditakdirkan dan kita telah berusaha dengan sehabis baik yang mungkin maka ketika itu apa sahaja yang berlaku ialah takdir dan ketetapan yang tiada dapat diubah.
Maka tugas kita ialah beriman, bertawakal dan redha sahaja dengan apa yang berlaku.
Lihat sahaja kisah Nabi Allah Ibrahim yang disebut di dalam Al-quran :
“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” dia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. (As-Shaffat : 102)
Bersabar menangung kesedihan dan kegagalan itu kerana itulah yang diperintahkan.
Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah..” (An-Nisa : 125)
Terimalah kegagalan dengan senyuman dan redha kepada Allah Swt serta penuh keyakinan dan tawakal kepada-Nya.
Bersangka baik dengan kegagalan dan bersikap positif
Kegagalan tidak selalunya buruk, seringkali kegagalan itu membawa kebaikan dan manfaat kepada kita kerana secara pasti sebagai hamba kita gagal mengetahui apakah yang terbaik untuk kita.
Allah befirman :Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah lebih mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” ( Al Baqarah : 216)
Sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon (bersangka baik) dengan Allah swt.” (hadis Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).
Sikap kita apabila menghadapi kegagalan ialah sentiasa berfikiran positif dan bersikap optimis bahawa kemungkinan kegagalan ini ialah satu peluang untuk diri kita. Ramai terlupa bahawa kegagalan itu seringkali menjadi peluang untuk membolehkan dirinya mencapai sesuatu yang lebih baik. Kegagalan itu berlaku sebagai takdir Allah untuk membolehkan dia diberi pilihan dan peluang untuk berusaha lebih baik untuk membolehkan dia menikmati dan mencapai sesuatu yang lebih baik.
Kegagalan ialah peluang
Dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa sesungguhnya nabi bersabda : “Barangsiapa yang diingini oleh Allah akan kebaikan maka diujinya dengan musibah” (hadith Sahih riwayat Bukhari, Muwatho dan Ahmad).
Ramai peniaga yang bijak mengambil kesempatan daripada kegagalan mereka untuk menukar kegagalan itu kepada peluang yang menguntungkan. Apabila mereka menemui kegagalan, mereka tidak menangis teresak-esak seperti kanak-kanak sebaliknya memikirkan di manakah salah dan silap mereka lalu memperbaiki mutu kualiti kerja mereka sehingga kegagalan itu menjadi ujikaji dan latihan yang berguna untuk diri mereka.
Ada pula yang mendapati kegagalan mereka tidak dapat diperbaiki maka mereka memperbaiki situasi dan keadaan masyarakat untuk menerima kegagalan mereka itu sebagai suatu perkara yang berjaya. Pendek kata mereka berjaya menukar mentaliti ramai bahawa mereka tidak gagal sebaliknya berjaya walau pada hakikatnya dalam aspek yang praktikel mereka sebenarnya gagal.
Maka orang yang beriman sebenarnya lebih-lebih lagi beruntung kerana mereka tidak pernah mengalami kegagalan dan tidak akan gagal sebaliknya akan menjadi beruntung walau dalam keadaan apa jua cara.
Disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Suhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda : “Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu jadilah pula musibah itu sebagai kebaikan baginya.” (Hadis sahih riwayat Muslim no. 2999).
Dari Mus’ab bin Said dari bapanya ra berkata : Aku bertanya kepada rasulullah siapakah manusia yang paling dahsyat menerima bala ? Maka dijawab : Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. Tidaklah hilangnya bala itu pada seorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya” (hadis hasan Sahih, riwayat tirmidzi no. 2398, Ibn majah, Ahmad).
Mengatur perancangan dan melakukan muhasabah
Tindakan yang penting dan vital selepas mengalami kegagalan ialah memastikan ianya tidak berulang di dalam bentuk yang sama serta mengambil pengajaran daripada kegagalan yang berlaku.
Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda : "Orang yang beriman tidak akan disengat dua kali di lubang yang sama." (Hadis riwayat Muslim)
Sebagai seorang Muslim menggunakan akal fikiran dan berfikir sebelum melakukan sesuatu adalah merupakan perintah daripada Al-Quran dan As-sunnah. Islam mengajar kita supaya mempertimbangkan di antara baik dan buruk serta agama ini datang dengan membawa konsep menolak Mafsadat (menolak kerosakkan).
Dari Syadad bin Aus ra menyebutkan bahawa dari rasulullah yang bersabda : “Orang yang pandai adalah yang menghisab (memuhasabah) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya serta banyak berangan-angan terhadap Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Di dalam hadis yang lain ada menyebutkan bahawa baginda bersabda : "Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Penyesalan di atas kesilapan kita yang membawa kepada kegagalan adalah dibolehkan jika ianya dilakukan secara positif dan memberi manfaat kepada agama namun bukanlah bermaksud keluhan dan kesedihan yang tiada berpenghujung serta membuang masa.
Meneruskan kembali usaha dengan lebih berkualiti
Bagi mereka yang bijak dan memahami agama dengan kefahaman yang sahih, maka mereka akan segera kembali bekerja dan berusaha dengan lebih gigih, lebih berhati-hati dan mempelajari daripada kesilapan mereka untuk menjadi manusia yang lebih baik di masa hadapan.
Biarkanlah orang memandang rendah kepada kita di atas kegagalan kita kerana apabila kita benar-benar belajar daripada kesilapan dan kegagalan maka InsyaAllah kita tidak lagi akan menjadi hina dan dipandang rendah paling kurang tidak di sisi Allah swt.
Nabi saw pernah bersabda : “Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap suatu.” (hadis riwayat Muslim)
Bagi mereka yang sedar dan belajar daripada kesilapan akan berusaha dengan lebih gigih dan berkualiti. Mereka belajar daripada kegagalan dan apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada diri mereka.
Allah befirman : “Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran? " (Al-Jathiyah: ayat 23)
Di dalam hadis yang lain ada menyebutkan bahawa baginda bersabda : "Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Marilah kita bermuhasabah dengan sebuah hadis yang menjadi kegemaran isteri saya,
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadis dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasalam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu : Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau, jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah. Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau. Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan).” (Hadis sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).

0 komentar:

Diberdayakan oleh Blogger.
ADIFAH 2220 © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute